Tuesday, April 6, 2010

Mufarakah Doa Di Jabal Rahmah

“MUFARAKAH” DOA DI JABAL RAHMAH

Saya tersenyum. Aneh pun ada. Lucu pun ada.
“Ya, ustaz… pada semua tempat kami berdoa bersama. Saya berdoa isteri aminkan dan diikuti oleh semua anak-anak kami tapi…” kata Haji Rahim serius.
“Bila kami berdoa di Jabal Rahmah, isteri saya tidak mengangkat tangan seperti biasa. Anak-anak sahaja yang mengaminkan doa saya,” tambahnya lagi.
“Tuan Haji doa perlahan kot?”
“Semua tempat saya berdoa perlahan. Baik di Multazam, Hijr Ismail, Pancur Emas semua diaminkan bersama. Tapi bila di Jabal Rahmah lain pula ceritanya,” sambil tersenyum Haji Rahim melirik isterinya di sebelah.

Saya turut senyum melihat isteri Hj Rahim senyum. Mereka berdua pasangan serasi. Ke mana pergi bersama. Suhu di Makkah yang membara itu seakan-akan didinginkan oleh kelembutan dan kesyahduan doa para tetamu Allah termasuk sepasang suami isteri ini, yang menemani saya makan, tengah hari itu.
“Kenapa kak?” saya bertanya kepada isteri Hj Rahim.
“Ustaz pun tahu apa yang sering didoakan oleh para jemaah di Jabal Rahmah kan?”
“Doa minta rahmah, maghfirah dan hidayah…” balas saya.

“Bukan itu, tapi doa yang khusus!” balas Kak Raha, isteri Hj. Rahim.
“Doa khusus?” saya bertanya lagi. Sengaja ingin dia meluahkan secara jelas dan tepat rasa hatinya.
“Ahh, doa minta jodoh. Bertemu pasangan…”
“Jadi apa masalah kak?”
“Dia takut saya doa minta jodoh,” tiba-tiba Hj. Rahim menyampuk. Isterinya tersenyum sambil meneguk lassy (susu masam) yang enak rasanya.
Senyum saya akhirnya bertukar jadi ketawa. Nasi Beriani ala Yaman di hadapan kami baru sedikit terusik. Berbanding makan kami lebih rancak berbual.

“Ohh begitu. Kak takut aminkan doa Hj. Rahim, takut-takut dia minta doa nak kahwin lagi?” ujar saya.
Kak Raha menunduk. Masih senyum.
Ah, hati perempuan, getus saya dalam hati. Begitulah hebatnya sensitiviti wanita – tentang cemburu, cinta dan kasih sayangnya, mampu menjangkau doa seorang lelaki.
“Hj. Rahim doa macam tu ke?” Kali ini saya pula “menguji” Hj. Rahim. Mana tahu, hati lelaki, kekadang sukar diteka. Dalam senyap-senyap lelaki juga bijak berstrategi, bukan menipu tetapi tak bagi tahu.

Perancangan dan strategi hendak kahwin lagi ini memang biasa “dilaksanakan” oleh segelintir suami di Makkah atau di Madinah. Sahabat saya Hj. Ramzi menceritakan pengalamannya meredakan “perang saudara” antara suami isteri di Tanah Suci, baik semasa mengerjakan umrah atau mengerjakan haji. Semuanya gara-gara suami hendak berpoligami. Maklumlah, di sana hati manusia lembut, syahdu, hiba. Kesempatan itu kekadang digunakan untuk sisuami mengajukan “proposal” untuk bernikah lagi. Jika isteri menerima, aman. Jika tidak… siap, perang meletus di situ juga!

“Ustaz, tak terlintas pun dalam hati saya nak bernikah lagi. Apa lagi nak berdoa macam tu..,” pintas Hj. Rahim memutuskan lamunan saya.
“Dengar tu kak Raha,” kata saya selaku “mediator”
“Bukan apa ustaz, saya bukan tak terima poligami tetapi…”
“Tak palah kak, saya faham. Kemampuan hati wanita berbeza,” kata saya meredakan.
“Bagaimana kalau macam ni…” tiba-tiba Hj. Rahim membuka semula gelanggang perbincangan semula.
Saya terkejut. Isu ini sangat sensitif, silap-silap “mediator” terjebak sama.
“Macam mana Tuan Haji?”
“Begini. Katalah si suami berdoa kepada Allah minta sangat nak berpoligami. Isteri pula berdoa kepada Allah supaya janganlah Allah takdirkan suaminya berpoligami. Doa siapa yang Allah nak makbulkan?”
Tersentak. Soalan macam ni pun ada. Unik betul pasangan suami isteri ini. Nampak tenang, aman tapi soalannya tajam-tajam. Namun saya masih boleh tersenyum. Santai-santai. Ini bukan forum perdana, hanya perbualan biasa

“Sama-sama ikhlas. Sama-sama ada “reason” yang baik. Bukan kerana suami nak melampiaskan nafsu, bukan kerana isteri hasad dengki atau cemburu buta. Kedua-dua mereka sama-sama tulus dan lurus kerana Allah. Tetapi doa mereka sahaja yang berbeza!” tambah Hj. Rahim menambah kusatnya soalan yang sudah jadi persoalan itu.
“Insya-Allah, Allah akan makbulkan doa yang terbaik,” jawab saya akhirnya. Perlahan. Takut juga saya menjawab soalan itu, seolah-olah didesak menjawab bagi pihak Allah. Padahal saya hanya hamba-Nya.

“Terbaik untuk siapa?” Hj. Rahim dan isterinya bersuara serentak.
“Terbaik untuk kedua-duanya!”
“Bagaimana tu?”
Ya, jika poligami itu baik untuk kedua-duanya… poligami itulah yang Allah akan izinkan berlaku. Jika sebaliknya, poligami itu tidak baik buat kedua-duanya, poligami itu tidak akan berlaku.”
“Tak faham saya ustaz. Kalau poligami itu berlaku, memanglah baik untuk si suami… tetapi tak akan baik juga untuk si isteri?” Kak Raha minta penjelasan.
“Baik juga untuk siisteri, “ tegas saya.
“Bagaimana?”

“Kak, kita perlu kembali kepada Tauhid. Allah itu Al Alim. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Jika poligami itu baik, bukan sahaja suami yang berdoa untuknya dapat kebaikan, malah siisteri yang tidak berdoa untuk itu pun akan dapat kebaikan!”
Keduanya diam.
“Berapa banyak perkara yang kita sangka buruk, akhirnya memberi kebaikan kepada kita. Dan berapa banyak pula perkara yang kita sangka baik pada asalnya memberi keburukan. Kita tidak tahu, Allah Maha Tahu,” kata saya mengulangi apa yang telah Allah tegaskan firman-Nya (surah Al Baqarah ayat 216.)

“Dan kalau poligami itu tidak berlaku… jangan pula suami bersedih. Itu tentu lebih baik bukan sahaja untuk isterinya tetapi untuk dirinya juga. Allah tahu tahap kemampuan lahir dan batin kita. Mungkin fizikal dan material kita ok, tapi bagaimana dengan kemampuan memberi ilmu dan mendidik?”
“Kalau tidak suami akan menanggung beban dunia dan akhirat kan ustaz?” tekan Kak Raha. Saya menjeling Hj. Rahim. Dia senyum.
“Begitu juga isteri kalau dah ditakdirkan dia dimadukan, pasti ada kebaikan yang akan dinikmatinya nanti. Ubat selalunya pahit,” balas saya supaya adil.
“Awak jangan takut… kalau saya doa poligami nanti, saya akan doa kuat-kuat tahu. Awak mesti aminkan,” kata Haji Rahim mengusik.
“Dan kalau nanti saya doa kuat-kuat abang tak berpoligami pun, abang kena aminkan juga,” balas kak Rahah turut mengusik. Saya ketawa – terubat keletihan melihat kemesraan mereka berdua.

Malam itu, saya termenung panjang. Persoalan siang tadi, kembali menerjah ingatan. Walaupun itu hanya satu daripada jutaan persoalan yang bergolak dalam jiwa umat ini tetapi itu menunjukkan betapa jahil dan jahilnya kita sebagai manusia. Betapa kadangkala hati kita sendiri bertanya kenapa jadi begitu dan mengapa ini yang terjadi ? Padahal kita hanyalah hamba-Nya. Mengapa dan kenapa.. apabila ditujukan kepada takdir akan menyebabkan kita hilang ketenangan.

Insiden “mufarakah” doa di Jabal Rahmah, menghadiahkan sebuah hikmah. Ya, akhirnya saya hanya mampu berdoa, “ya Allah, bantulah hati ini memahami, menghayati dan merasai keindahan takdir-MU. Jadikanlah aku hamba yang sebenar-benarnya hamba – yang pasrah dan menyerah, seluruh dan sepenuh.” Bukan menafikan tadbir, bukan tidak boleh berdoa… tetapi bila takdir sudah memutuskan pasrah dan menyerahkan. Ingat, the believer asks no questions, while no answer can satisfy the unbeliever!

Oleh PMJ

No comments:

Post a Comment