Monday, April 26, 2010

Jika Hubby Sayang Isteri..

Berikut adalah petua ilmiah bagaimana hubby boleh memenangi hati isteri. lanya dipetuakan oleh para bijak pandai setelah mengkaji apakah kesukaan wanita yang memang sentiasa mahukan perhatian. Tapi ingat, ia khas untuk suami isteri:

1. Bila saja anda pulang ke rumah, carilah dia dahulu sebelum anda lakukan perkara lain dan peluklah dia.
2. Tanya kepadanya soalan-soalan yang tertentu menunjukkan anda sedar apakah yang dia rancang untuk lakukan hari ini.
3. Latihlah diri anda untuk mendengar serta bertanya soalan kepadanya.
4. Bentengi diri anda untuk menyelesaikan masalahnya, tapi tunjukkan ; sifat memahami anda.
5. Berikan padanya perhatian yang sebenar tanpa menunggu dia memintanya selama setengah jam setiap hari.

6. Bawakan kepadanya hadiah yang mengejutkannya pada bila-bila masa lebih-lebih lagi pada tarikh atau perayaan yang bermakna.
7. Rancanglah masa untuk bersamanya beberapa hari sebelum itu, jangan menunggu hingga malam Jumaat kemudian bertanya pula apakah yang dia hendak buat.
8. Jika pada suatu malam, dia merasa letih atau terlalu sibuk untuk memasak, tawarkan diri anda untuk memasak pula.
9. Selalulah memujinya dari segi kecantikan dan keanggunan rupa parasn ya.
10. Akui perasaannya bila dia merasa marah.
11. Tawarkan bantuan kepadanya bila dia merasa letih dan penat.
12. Jadualkan mana-mana perjalanan lebih awal agar dia tidak kelam kabut membuat persediaan.
13. Sekiranya anda terlewat, jangan lupa untuk m enelefon dia dan beritahu dia tentang hal itu.
14. Bila dia mahukan sokongan anda dengan bertanya mengenai sesuatu perkara, katakan ya atau tidak. Jangan jadikan dirinya rasa bersalah kerana bertanya.
15. Semasa perasaannya tersinggung, berikan padanya rasa simpati anda dan nyatakan kepadanya 'Saya kasihan awak tersinggung'. Kemudian diamlah, biarkan dia dapat merasakan bahawa anda memahami yang dia tersinggung. Jangan cuba jelaskan pula kenapa rasa tersinggungnya itu bukan salah anda.
16. Bila anda perlukan masa untuk bersendirian akibat gusar, katakan padanya anda akan pulang dan and a perlukan sedikit masa untuk berfikir mengenai sesuatu.
17. Sekiranya perasaan anda telah reda dan anda pulang ke rumah, bercakaplah dengannya apakah dia yang menggusarkan anda dengan cara yang hormat dan tidak menyalahkan dia. Dia perlu tahu agar dia tidak > menyangka yang bukan-bukan.
18. Bila cuaca sejuk, eloklah rapatkan diri anda kepadanya dan biarkan kehangatan tubuh anda dapat menghangatkan jiwanya.
19. Pada masa dia mahu berbincang dengan anda, letakkan buku, majalah atau akhbar yang sedang anda baca, dan tutup TV. Berikan perhatian sepenuhnya.
20. Sekiranya selalunya dia yang membasuh pinggan, sesekali bantu dia untuk membasuh pinggan pula, terutamanya jika dia letih. Bantulah dia menggosok bekas yang sukar atau kerja membasuh yang sukar.
21. Pastikan bila dia letih atau marah, tanya dia apa yang dia hendak buat dan tawarkan bantuan a nda dengan melakukan beberapa kerja yang akan dilakukannya.
22. Bila anda hendak keluar rumah, tanya dia adakah barang yang patut dibeli, dan jangan lupa pula membelinya.
23. Beritahu padanya bila anda mahu tidur atau mahu keluar.
24. Berikan dia lima kali pelukan setiap hari. Satu waktu subuh, satu zohor, asar, maghrib dan isya'. Jika tidak berkesempatan, himpunkan dua atau tiga pelukan pada waktu yang terluang.
25. Telefon dia semasa anda bekerja dan bertanya khabar atau kongsikan sesuatu yang menarik, atau hanya katakan 'Aku cinta padamu'.

26. Katakan 'Aku cinta padamu' sekurang-kurangnya sekali sehari.
27. Bantu dia untuk mengemaskan katil dan membersihkan bilik tidur.
28. Letakkan pakaian yang sudah patut di basuh ke bakul yang dikhaskan.
29. Selalulah periksa sama ada tong sampah sudah penuh dan tolong buang sampah. Kemudian tolong letakkan plas tik sampah dalam tong itu.
30. Bila anda hendak berjalan jauh, telefon dia, biar dia tahu anda selamat sampai dan berikan nombor telefon tempat itu.
31. Basuhkan kereta yang dipakainya.
32. Bersihkan diri anda dan pakai wangi-wangian sebelum jima' jika itu > yang dia suka.
33. Bila dia merasa marah kepada seseorang, eloklah anda menyebelahi isteri anda. Kalau anda tidak bersetuju dengan caranya, itu boleh diselesaikan kemudian.
34. Selalulah tawarkan diri anda untuk mengurut belakang, tengkuk dan kakinya.
35. Jadikan tabiat merangkulnya dan mengasihinya yang bukan bertujuan untuk jima'.

36. Sabarlah bila dia mahu berkongsi pendapat dengan anda. Jangan mengalihkan pandangan anda pada benda lain, atau melihat jam.
37. Tunjukkan kasih sayang anda ketika bersamanya walau di khalayak ramai.
38. Bila anda memegang tangannya, jangan pula jadikan tangan anda kaku dan lumpuh.
39. Ambil tahu apakah makanan atau minuman yang dia suka agar anda boleh suruh dia memilih apa yang dia memang gemar.
40. Sarankan beberapa restoran yang baik, jangan bebankan padanya untuk menentukan di mana hendak makan.

41. Luangkan masa anda untuk pergi bersamanya ke tempat yang dia suka pergi, selama mana tempat itu adalah tempat yang baik atau diharuskan.
42. Wujudkan masa bila mana anda boleh memakai pakaian bersama-sama.
43. Cuba memahami bila dia lewat atau tiba-tiba mahu menukar pakaiannya.
44. Berikan perhatian yang lebih kepadanya daripada orang lain ketika anda berada di khalayak ramai.
45. Jadikan dia lebih penting dari anak-anak anda. Biarkan anak-anak anda menyaksikan bahawa isteri mendapat perhatian anda yang lebih utama dan lebih awal sebagai contoh kepada mereka.
46. Belika n dia hadiah-hadiah kecil dan comel.
47. Belikan untuknya pakaian. Pastikan anda tahu saiz tubuhnya serta warna, fesyen dan corak yang lebih digemarinya. Atau anda boleh belikan kain untuk dijahit emudiannya.
48. Ambillah gambarya pada waktu-waktu keramaian atau di tempat-tempat yang mahu dijadikan kenangan.
49. Luangkan masa bersendirian dengannya untuk melakukan sesuatu yang romantik.
50. Biar dia tahu bahawa anda bawa gambarya dalam dompet anda dan menggantikan ia dengan gambar terbaru bila sudah sampai masanya.
51. Biarlah anda yang memandu ketika berjalan jauh. Pandulah dengan selamat, tidak terialu laju hingga mengecutkan hatinya dan tidak pula terlalu perlahan sedangkan anda boleh laju.
52. Perhatikan bagaimanakah perasaannya dan berikan komen yang menunjukkan anda ambil berat seperti 'Awak nampaknya gembira hari ini' atau 'Awak nampak letih' dan kalau boleh tanya sebabnya agar anda tahu apa yang mengembirakannya dan sebaliknya.
53. Bila anda keluar bersamanya, anda sendiri perlulah tahu arah tujuan anda agar dia tidak terasa tertekan memandu arah kepada anda.
54. Solat bersama dan berdoa bersama.
55. Kejutkan dia dengan puisi atau nota cinta.
56. Layanilah dia sebagaimana anda melayani semasa awal-awal dahulu.
57. Tawarkan diri untuk membaiki sesuatu di rumah. nyatakan anda ada masa untuk itu. Tapi jangan pula tawarkan diri melakukan perkara yang tidak mampu anda lakukan dengan baik. Tolong asah pisau. Gunakan gam yang baik untuk melekatkan sesuatu yang telah pecah. Tolong gantikan lampu yang telah terbakar.
58. Bacakan dengan kuat sesuatu ruangan akhbar yang menarik minatnya.
59. Tuliskan dengan kemas apa-apa pesanan untuknya yang anda terima melalui telefon.
60. Pastika n bilik mandi bersih dan kering bila anda sudah mandi.
61. Bukakan pintu untuknya. Tawarkan diri untuk membawa barangan yang dibawanya. Tawarkan untuk bawakan barangan yang berat. Jika hendak berjalan, letak dan barangan yang hendak dibawa di kereta.
62. Bi la dia memasak, pujilah masakannya.
63. Sewaktu anda mendengar dia berkata, pandanglah ke matanya. Tunjukkan bahawa anda berminat dengan menyatakan 'Betul kata awak'. Di masa yang sesuai, pegang dia dengan tangan anda bila anda berkata kepadanya.
64. Tunjukkan minat anda pada apa yang dia buat hari ini, pada buku yang dia baca, dan pada orang lain yang dia hubungi.
65. Bersedialah untuk masuk tidur bersama dan masuklah ke kamar seiring dengannya.
66. Berikan dia ciuman dan berikan salam atau kata selamat tinggal bila anda mahu keluar rumah.
67. Ketawalah pada jenaka dan senda guraunya.
68. Katakan terima kasih bila dia buat sesuatu untuk anda.
69. Rancanglah untuk makan angin bersamanya.
70. Berbincanglah dengan cara yang menunjukkan kepadanya bahawa anda mahu dia dapat apa yang dia kehendaki dan anda juga mahu apa yang anda kehendaki. Ambil berat, tapi jangan berat sebelah.
71. Bila anda berjauhan darinya, beritahu padanya bahawa anda rindu padanya.
72. Belikan untuknya makanan yang dia gemari.
73. Minta pandangannya tentang sesuatu dan hargai pandangannya.
74. Ramai lelaki menganggap yang penting bila bersama wanita ialah melakukan perkara-perkara besar saja tetapi sebenarnya yang akan memenangi hati wanita ialah bila lelaki melakukan hal-hal kecil untu membantunya dan menunjukkan anda ambil berat padanya.
75. Dengan cara ini wanita akan merasa dirinya dicintai. Bila dia merasa dicintai, dia akan cinta pada anda tanpa berdolak-dalik.
76. Anda juga akan dapati bahawa melakukan kerja-kerja kecil untuk wanita akan mengubati hati anda. Bila dia gembira anda akan turut gembira. Anda akan merasa lebih berguna dan berjasa kerana isteri anda telah memperolehi perhatian yang dia perlukan.

Thursday, April 8, 2010

Saat Aku Sepi Tanpa Dia... Rindu Mula Berbicara


Make Love Letters at WiddlyTinks.com


Keindahan pagi diriuhi suara burung yang menyanyikan lagu indah, kenyamanan petang yang diwarnai dengan riangnya suara anak-anak yang sedang leka bermain dan kedamaian malam yang disimbahi cahaya rembulan seakan tiada membawa erti padaku tatkala aku kehilangan senda gurau dan pujuk rayu dia.

Alangkah pudarnya warna pelangi itu tanpa dia di sisi. Sukar bagiku melalui saat yang berdetik itu. Ah, kenapa putaran waktu begitu mencemburui kami. Saat dia disampingku, masa begitu pantas berjalan, namun saat dia jauh dariku, kenapa saat itu tak mampu bergerak pantas membawa dia pulang padaku.

Aku terbeban tanpa dia. Terbeban dengan rinduku padanya. Sukar untuk aku melalui hari-hari yang sepi dan mati tanpanya. Perasaan aku terpendam seribu duka. Aku benci dia kerana sanggup jauh dariku. Tapi aku tak mampu untuk membenci dia bekali-kali; berulang kali. Sebenarnya aku hanya benci diriku kerana tak mampu mendidik hati ini untuk membuang segala ingatanku padanya. Setiap putaran masa itu, hati ini, fikiran ini, tiada yang lain, memikirkan dia. Separuh jiwaku pergi tanpanya. Aku mati tanpa cintanya.

Kadang-kadang, aku takut memikirkan. Aku takut seandainya mati itu menjemputku sebelum aku ketemui dia lagi. Bukankah jodoh, ajal, maut itu di tangan Allah. Aku jadi takut bila memikirkan aku tak sempat memeluknya lagi, menentang lagi mata yang satu ketika dulu, pertama kali di pertemuan kami, membuat aku jatuh cinta padanya.

Aku takut ajalkan menjemputku dalam keadan aku sengsara merinduinya. Ya Allah sampaikan salam rinduku padanya; katakan padanya kesepian ini menjemput hati berbicara soal rindu. Setiap detik yang berbicara itu adalah rinduku. Minta izin menitip rindu kerana senja itu lama lagi berkunjung diri.

Aku terlau rindu dia.


Feeda Fadly "Syurga Kecilku".


Wednesday, April 7, 2010

Yang Lebih Indah Dari Cinta

Telah ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini. Masakan begitu, detik hati kita.

Teringat kembali detik mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia… Ah, gembiranya saat itu. Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata.

Musim berlalu. Alam rumah tangga yang kita bina bersamanya menongkah arus ujian. Pelbagai suka duka, pahit manis diharungi bersama. Kata orang, semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang menggoyang. Maksudnya, semakin tinggi puncak kehidupan ini kita daki maka semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Warna sebenar (true colours) kita dan pasangan kita akan terserlah. Pada ketika itu segala yang pahit, masam, busuk akan terserlah…

Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggung jawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. “Perasaan” adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan “bekerja” untuk kita, bukan sebaliknya.

Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga, tanggung jawab akan datang menyelamatkan “pertunjukan” dengan peranan yang lebih berkesan.

Cuba bayangkan, ketika isterimu hamil, muntah-muntah, rambut kusut dan badannya tidak terjaga lagi kerana menanggung derita tempoh mengandung, ketika mulutnya mula becok mengasuh dan mengelolakan anak yang berderet selang setahun, atau ketika suamimu termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin meningkat atau keceriaannya semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertali arus… Bagaimana? Masih berserikah wajah sidia seperti yang kita lihat pada malam pertama?

Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut dan kita sudah mencecah usia senja. Pada saat itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan malam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita selamat, isteri pula yang menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya menepati jadual, atau lebih “ekstrem” lagi terpaksa menyuap makan-minumnya ketika dia sudah terbaring kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri?

Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz, “aku terima nikah,” oleh kita sebagai suami musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Kita memikul tanggung jawab untuk memberi kasih-sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya…

Pun begitu bagi si isteri… penerimaan mu sebagai pasangan hidupnya bukan ertinya untuk kau menerima tetapi untuk memberi – memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa raga mu untuknya. Kau telah membuat satu aku janji yang paling suci dan tinggi dalam hidup mu, bukan untuk seseketika tetapi untuk selama-lamanya. Bukan hanya ketika suami mu bertubuh kekar, tetapi sehinggalah dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!

Itu baru ujian luaran. Belum lagi ujian dalaman yang berbentuk cemburu, jemu, marah, curiga dan lain-lain “virus” perhubungan. Berapa banyak hubungan yang terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan.
“Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?”
“Tergodakah dia bila di belakangku?”
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.

Pernah anda lihat si suami yang “diganggu” panggilan telefon oleh isterinya setiap selang 15 minit sekali? Aduh rimasnya. Betulkah itu kerana cinta atau kerana curiga. Pada hal cinta itu membebaskan bukan mengawal. Jika kita benar cintakan suami atau isteri, dan cinta itu ditunjangi oleh kepercayaan, kita tidak akan mengawalnya bahkan kita akan membebaskannya. Terbanglah ke mana kau suka, insya-Allah kau akan kembali jua. Justeru hati mu… tetap di sini, di hati ku!

Ada si suami yang curi-curi memeriksa “inbox” dan “sent” telefon bimbit isteri kalau-kalau ada SMS yang mencurigakan? Ada pula isteri yang menyelongkar setiap inci kereta suami takut-takut ada “kesan-kesan” tinggalan perempuan lain. Pernah saya dengar ada suami yang memusnahkan segala resit, bil, surat-surat kecil, dan apa jua dokumen-dokumen picisan dalam poket dan beg duitnya sebelum pulang ke rumah takut “disoal siasat” oleh isterinya?

“Ini bil makan, abang makan dengan siapa?”
“Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?”
“Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?”

Itulah soalan-soalan isteri yang menyebabkan suami terkial-kial menjawabnya. Pada suami semua itu remeh temeh, tetapi tidak pada isteri yang tidak percaya, semua itu boleh dijadikan modal “perang besar”. Kalau si suami disyaki ada di tempat yang tidak sepatutnya ada atau pada waktu yang tidak sesuai, siap sedialah menghadapi hukuman jika gagal memberikan “alibi”!

Itulah gara-gara sama ada isteri tidak mempercayai suami atau suami tidak mempercayai isteri atau kedua-duanya sudah saling tidak mempercayai! Bukan kerana tidak ada cinta tetapi kerana hadirnya sebuah curiga akibat hilang rasa percaya. Sebab itu mengikut kajian, penceraian banyak berlaku bukan sahaja pada pasangan yang sudah kehilangan cinta tetapi pada pasangan yang terlalu cinta.

Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar mengenalinya. Jika disebabkan faktor yang pertama, jalan terbaik ialah kenalilah pasangan anda dengan lebih mendalam. Berkenalan kali pertama dahulu (seawal usia perkahwinan) adalah untuk menumbuhkan bibit-bibit cinta. Tetapi perkenalan kali kedua, ketiga dan seterusnya yakni setelah usia perkahwinan meningkat adalah untuk menyuburkan bibit-bibit percaya. Adalah salah sekali kalau kita beranggapan yang kita telah kenal pasangan kita dan terus menghentikan proses perkenalan. Sedangkan proses perkenalan dalam rumah tangga adalah “on going” (berterusan) sifatnya.

Kenal itu sangat berkait dengan rasa cinta. Dan cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina atas perkenalan bukan sahaja dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya akan kita cuba sama-sama atasi dan jika tidak, kita terima seadanya kerana kita sedar kita berkahwin dengan manusia bukan malaikat.

Kita akan terus mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.

Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya, kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.

Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita.
“Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama.”
“Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu…”

Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Wahai suami, wahai isteri… sekali lagi ku tegaskan inilah oksigen cinta. Dan bagi semua yang masih belum mengenal cinta (antara lelaki dengan wanita), burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai… itulah dipercayai!

Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu mendapat gelar ”Al Amin” (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?

PMJ

Iktibar Batu Belah Batu Bertangkup... Ibu Tak Boleh Merajuk

Cerita dongeng batu belah batu bertangkup pernah kita dengar. Setidak-tidaknya sekali terutamanya semasa kecil hati kita mungkin pernah merasa seram dan ditakut-takutkan oleh kisah seorang ibu menyerahkan dirinya ke dalam sebuah gua batu yang boleh menelan manusia. Lalu hati kita kecut, takut-takut ibu kita pula akan ditelan batu. Lalu kita pun berhenti menangis atau merajuk takut-takut ibu kita akan mengalami keadaan yang sama. Walaupun cerita ini jelas berunsurkan dongeng malah di sesetengah tempat terdapat elemen tahyul, namun cerita ini tetap masyhur disampaikan dari generasi ke satu generasi. Malah karyawan seni Melayu telah memertabatkan kisah ini menjadi sebuah filem suatu masa dahulu.


Diringkaskan kisahnya berlegar disekitar seorang balu miskin dengan dua orang anaknya yang masih kecil. Yang sulung, seorang perempuan, manakala yang bongsu pula seorang lelaki. Ibu tersebut terpaksa menyara dan memelihara kedua anak itu setelah suaminya meninggal dunia. Justeru ibu miskin tadi terpaksa menyara kehidupan anaknya dengan membuat berbagai-bagai kerja, dari bercucuk tanam, mengambil upah bekerja di rumah orang hinggalah menangkap ikan. Matlamatnya cuma satu, yakni janganlah kedua anaknya mati kebuluran.


Pada suatu hari, ibu tadi berjaya menangkap seekor ikan Temakul yang mempunyai telur. Setelah ikan ini siap dimasak, siibu tadi berpesan kepada anak perempuannya agar memberi anak lelaki kecilnya makan. Manakala dia terpaksa keluar kerana masih ada kerja yang hendak dibuatnya. Sebelum pergi siibu mengingatkan anak perempuan agar menyimpan sedikit telur ikan Temakul yang telah siap dimasak untuk dimakannya sewaktu pulang ke rumah nanti. Sepeninggalan ibunya, kakak tadipun memberi adiknya makan. Setelah habis bahagian siadik, kakaknya menjadi bimbang kerana siadik masih belum puas, dia terus menerus minta tambah sedangkan tidak ada lagi telur ikan yang tinggal kecuali yang telah disimpan untuk si ibu.


Si adik terus menangis, merayu-rayu dan merengek-rengek minta tambah. Setelah beberapa lama, sikakak tidak sampai hati, lalu memberi baki telur ikan Temakul bahagian siibu untuk adiknya. Telur ikan itupun habis semuanya. Tidak lama kemudian siibu pun pulang. Alangkah kecewa hatinya apabila didapati telur ikan yang sangat diinginkannya telah habis dimakan oleh anaknya. Ia kecewa, marah dan benar-benar terkilan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar membawa dirinya ke batu belah batu bertangkup untuk ditelan. Dia pun berlari ke tempat batu itu sambil berkata, “batu belah batu bertangkup, telanlah aku, ambillah aku… aku keempunan telur ikan temakul.” Begitu diseru berulang-ulang sambil berlari dengan deras menuju batu belah batu bertangkup. Melihat keadaan itu, sikakak pun mengejar ibunya sambil mengendung adiknya. “Ibu, ibu… jangan, jangan tinggalkan kami.” Pendek cerita, siibupun ditelan batu dan tinggallah kedua anak tadi menjadi yatim piatu.


Cerita itu terus bersambung dengan pelbagai episod lagi. Hinggalah kononnya kisah ini berakhir dengan ‘happy ending’ bila siadik lelaki berkahwin dengan puteri raja dan sikakak juga turut berkawin dengan putera raja. Namun apa yang hendak diiulas menerusi tulisan ini cukup hanya setakat itu sahaja. Sebenarnya, fokus kisah ini boleh diberikan ditujukan kepada dua subjek. Pertama, subjek pendidikan, kedua subjek komunikasi. Dalam soal pendidikan, jelas terdapat kepincangan yang besar pada karektor ibu dalam kisah ini. Sebagai ibu, perbuatan merajuk atas perbuatan anak (dalam kes ini sehingga sanggup membunuh diri) adalah salah. Ibu adalah individu yang mesti mengasehi anaknya sepenuh hati yakni secara ‘love without condition’. Maksudnya, cinta tanpa syarat. Apa sahaja sanggup dikorbankan demi kebahagian anak, hatta diri sendiri.


Dalam kisah ini, jelas kelihatan jiwa siibu terlalu kecil dan rapuh, sehingga begitu terkesan dengan perbuatan anaknya yang masih kecil dan belum matang berfikir. Sedangkan dalam proses mendidik anak, kesabaran dan kebijaksanaan sangat diperlukan. Seorang ibu adalah juga seorang pendidik yang benar-benar merasakan tugas mendidik anak ialah amanah besar daripada Allah. Siibu harus sedar bahawa dia sedang memikul tugas warisan para rasul khususnya nabi Muhammad SAW. Jika seorang jurutera, doktor, peniaga dan juruterbang berdepan dengan benda atau persoalan yang berbentuk fizikal, lain halnya pula dengan siibu yang berdepan dengan karenah anak yakni manusia yang punya jiwa, akal, nafsu dan perasaan. Oleh itu seorang ibu sedikit-sebanyak mesti memiliki kesabaran para Rasul.

Jika kita buka lembaran sejarah, banyak iktibar yang boleh kita ambil khususnya tentang kesabaran para Rasul menghadapi karenah umatnya. Beberapa kesilapan para Rasul kadangkala diperbetulkan oleh Allah terutamanya apabila mereka ‘berasa hati’ dengan umatnya. Walaupun telah sekian lama berdakwah dan tetap ditolak seruannya, namun Allah terus mengingatkan para Rasul-Nya agar tidak berasa kecewa, apalagi merajuk bila berdepan dengan kedegilan umat. Dan beberapa insiden telah berlaku yang merupakan didikan lansung dari Tuhan agar para Rasul tidak mengulangi kesilapan mereka. Nabi Yunus AS misalnya, telah ditelan ikan kerana bertindak meninggalkan kaumnya. Begitu juga yang terjadi kepada Nabi Zakariya AS, Nabi Yahya AS dan lain-lain. Bukan itu sahaja bahkan setiap Rasul merasakan kesilapan masing-masing apabila dihadapkan di mahkamah Allah di Padang Mahsyar kelak. Oleh hal yang demikian, para Rasul tidak berani menunaikan permintaan umat masing-masing untuk memohon kepada Allah bagi mempercepatkan perbicaraan di Padang Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad sahaja yang sanggup memohon kepada Allah untuk dipercepatkan perbicaraan itu.

Nabi Muhammad saw telah menunjukkan keunggulan berbanding para Rasul yang lain apabila baginda tidak sedikitpun berasa hati apalagi merajuk terhadap karenah umatnya. Baginda telah menunjukkan ketinggian peribadi apabila sering mendoakan orang yang menentangnya. Peristiwa di Taif misalnya, menunjukkan bagaimana baginda menolak tawaran para malaikat untuk menghancurkan penduduk Taif yang menghinanya. Bukan itu sahaja, bahkan baginda mendoakan agar generasi kemudian penduduk Taif akan mendapat hidayah. Inilah sifat mulia yang menjadi syarat untuk menjayakan proses pendidikan. Tetapi inilah yang tidak ada pada siibu dalam kisah batu belah bertangkup ini. Sifat mudah merajuknya, bukan sahaja membinasakan dirinya tetapi juga kedua anak yang ditinggalkannya. Siibu telah merajuk atas sebab yang sangat remeh, yakni sekadar tidak dapat makan telur ikan, bukan sebab-sebab besar yang boleh dianggap penting dalam hidup. Sikap yang sepatutnya diambil oleh iibu ialah berlapang dada dengan sikap anak yang belum boleh berfikir apalagi merasai keinginan dan perasaannya.

Anak yang belum baligh, dan mungkin dalam kes ini belum mumaiyiz, sekali-kali tidak boleh dilayan sebagai orang dewasa kerana mereka masih tidak boleh berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Bukan sahaja ibu-bapa, malah Allah sendiripun tidak meletakkan sesuatu tanggung-jawab atau kewajiban terhadap anak-anak yang masih belum mumaiyiz dan belum baligh. Hanya apabila baligh barulah anak-anak dikira mampu menilai, berfikir, memilih memutuskan dan seterusnya bertindak dengan betul. Ketika itu barulah input berbentuk ilmu, ajaran dan didikan boleh diterima, difahami dan diamalkan oleh anak-anak. Dan ini hanya dapat dicapai apabila seorang anak itu mencapai usia baligh. Bila baligh barulah sianak dianggap layak untuk diberi pertanggung-jawapan dan dihukum sekiranya mengabaikan tanggung-jawab itu.


Islam sangat mementingkan tahap akil baligh ini. Ia telah diletakkan sebagai syarat wajib yang perlu ada pada seseorang muslim sebelum diwajibkan melakukan sesuatu perintah. Ini bermakna jika seseorang belum baligh, maka dia belum wajib melaksanakan sesuatu hukum. Manusia yang masih kecil tidak tahu bagaimana menilai yang baik dan buruk untuknya. Fikirannya ketika itu hanya selapis sahaja, nampak seronok, nampak sedap, nampak suka… terus dibuat. Tanpa memikirkan apa akibat buruk yang mungkin berlaku. Samada akibat buruk itu berlaku di dunia ataupun di akhirat.

Mengambil kira hakikat ini, kesalahan ibu dalam cerita ini ialah kerana dia menganggap anak-anak sepertinya juga. Dia terlalu mengharap anak-anak itu akan memahami, bersimpati terhadapnya dan melakukan tindakan yang selaras dengan kehendaknya. Tetapi realitinya tidaklah sebegitu. Anak-anak mempunyai kelemahan yang banyak. Justeru mereka belum mampu berfikir dan menilai seperti mana orang dewasa. Dengan yang salah ini, sering terjadi para ibu memarahi merajuk, kecewa bahkan menghukum anak-anaknya tanpa mempertimbangkan kelemahan-kelemahan anak-anak itu. Dalam konteks ini Rasulullah telah berpesan berpesan “suruhlah anak-anak sembahyang pd umur 7 tahun. Pukullah mereka jika tidak sembahyang apabila umur 10 tahun.”

Kenapa anak-anak 7 tahun tidak boleh dipukul? Ini kerana kalau mereka melakukan kesalahan pada usia itu, bukanlah kerana kedegilan atau keengganan mereka tetapi kerana mereka belum cukup matang untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Sebab itu diperingkat ini, memberi ilmu, membimbing dan menunjukkan teladan yg baik lebih utama dr menghukum. Saidina Ali juga telah memberi panduan bahawa anak-anak yg berumur 7 tahun ke bawah hendaklah diberi kasih sayang secara banyak bermain-main bersama mereka. Supaya dengan itu anak-anak meyakini bahawa ibu-bapa memang kasihkan mereka. Setelah mereka berumur 10 tahun ke atas, barulah menurut Saidian Ali, mereka itu boleh didisiplinkan dengan adab-adab dan peraturan.

Malangnya ibu dalam kisah ini, tidak mengikut panduan-panduan yg tepat dalam mendidik dan menangani karenah anak-anaknya. Dia melakukan kesalahan besar kerana menyangka anak-anaknya mementingkan diri dan tak menyayanginya kerana memakan telur tembakul. Sedangkan sebenarnya, anak itu sayang kepadanya. Tetapi oleh kerana fikiran mereka tidak dapat menjangkau fikiran dan perasaan si ibu, si kakak memberi telur temakul kepada adiknya. Bukan kerana mementingkan adik lebih dari ibunya, tetapi semata-mata kasihan melihat adik yang menangis-nangis meminta telur tersebut. Dan si anak kecil juga, kerana terlalu kecil, apa yg difikirkan hanyalah makan. Dia belum boleh berfikir tentang perasaan dan kehendak ibunya. Apalah yang boleh difikir oleh anak sekecil itu, melainkan lapar, sakit, bermain dan sebagainya?

Subjek kedua dalam kisah ini ialah masalah komunikasi antara ibu dan anak-anak. Dalam kisah ini, jelas tidak adanya komunikasi berdasarkan simpati dan empati antara kedua-dua belah pihak iaitu pihak si ibu dengan pihak si kakak tadi. Dalam komunikasi yang baik, sikap ‘seek to understand then to be understood’ – sikap memahami orang lain terlebih dahulu barulah orang memahami diri kita sangat perlu. Kita mesti cuba menyelami perasaan, keadaan dan juga kesusahan yang dihadapi oleh orang lain sebelum membuat sesuatu tanggapan, atau suatu penilaian terhadapnya. Dalam ini misalnya, si ibu gagal menyelami perasaan sikakak yang simpatikan kepada adiknya. Dan ibu juga gagal perasaan siadik yg begitu sukakan telur ikan.

Sedangkan si ibu boleh membuat pelbagai alasan bagi pihak anaknya, tentang kenapa anaknya bertindak demikian. Contohnya, si ibu boleh beranggapan bahawa anaknya terlalu lapar. Mungkin telur ikan itu yg paling sedap pernah dirasainya dan pelbagai alasan yg lain. Apabila kita meletakkan diri kita pada kedudukan orang yg sedang kita berkomunikasi dgnnya, maka mudahlah kita membuang rasa negatif seperti sikap prasangka, prajudis dan marah yg tidak diketahui puncanya. Dalam perhubungan, kita tak boleh mementingkan diri sendiri. Yakni kita terlalu memikirkan diri kita tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Kalaulah si ibu dapat menyelami dilema yang dihadapi oleh anak perempuannya, dan kelaparan yang dialami oleh anak lelakinya, maka sudah pasti dia rela mengorbankan telur ikan itu.

Si ibu berada di satu keadaan yang boleh menyelami perasaan seorang anak, sedangkan sianak tidak mampu menyelami perasaan siibu. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu tersebut ialah menahan sabar, menahan lidahnya, menahan perasaan dan berkata pada dirinya sendiri… “anakku hanya seorang budak lelaki yang kecil, terlalu kecil untuk mengerti penderitaanku.” Dia harus sedar bahawa anak itu tidak boleh dilayani sebagai seorang dewasa. Dan dia telah meminta terlalu banyak daripada anaknya yang masih kecil. Siibu harus sedar… bahawa Tuhan pun tidak menghukum anak yang masih kecil. Kesimpulannya, jiwa siibu dalam kisah batu belah batu bertangkup ini terlalu kecil… Terlalu kecil untuk memainkan peranan yang terlalu besar. Ya, orang yang berjiwa kecil tidak akan mampu mendidik sekalipun seorang anak yang kecil!

Aku & Tiga Ibu

Oleh PMJ

Kali ini izinkan aku menulis tentang jasa IBU. Aku tidak pandai berfalsafah. Aku hanya ingin berkongsi rasa. Susuri rasa ini dalam tulisan sederhana yang ku beri tajuk: Aku dan 3 ibu…

Ibu pertama:

Aku mengayuh basikal laju-laju. Ingin cepat sampai ke destinasi. Masih terngiang-ngiang pesan emak sebentar tadi.

“Jumpa misi (jururarawat) sahaja terus bagi kad merah tu. Katakan emak dah sakit,” kata emak lemah. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan. Umur ku ketika itu baru 12 tahun. Emak sakit perut untuk bersalin. Ayah ku seorang buruh telah pergi bekerja awal pagi tadi. Di rumah tinggal aku dan dua orang adik perempuan.

“Emak nak bersalin ke?” tanyanya naif.

Emak tak bercakap banyak. Hanya mengangguk-angguk. Tubuh emak begitu kurus.

Tanpa berfikir panjang aku terus meminjam basikal jiran sebelah. Kebetulan tidak ada siapa orang lelaki yang boleh diharap kecuali aku. Pak cik sebelah menyebelah juga keluar bekerja. Rumah misi yang juga pusat kesihatan daerah kami agak jauh. Tetapi pada tengah hari itu semuanya seakan dekat. Aku mengayuh terus.

”Misi, emak saya nak bersalin. Ini kadnya,” kata ku tercungap-cungap sambil menyerahkan kad tersebut.

Misi, seorang perempuan Cina lewat 40′an itu agak terkejut. Namun kemudian membelek dan melihat kad itu secara terperinci.

“Aiya, saya tak boleh jadi bidan emak lu. Dia punya darah dan jantung ada sikit “problem”. Saya tak boleh…”

“Habis macam mana?” tanya ku agak cemas.

“Lu call ambulan. Minta dia datang rumah lu!”

Aku panik. Dalam usia 12 tahun, manalah aku pandai menelefon. Ini cerita 35 tahun dahulu, ketika kemudahan telekomunikasi tidak seperti hari ini. Sekarang anak-anak sudah pandai mendail telefon bimbit seawal usia 6 atau 7 tahun lagi. Mana nak dicari telefon awam.

“Misi boleh tolong tak?” aku merayu.

Misi terdiam. Tak lama kemudian dia bersuara, “minta tolong call ambulan? Ya, ya. Lu tulis alamat rumah di sini,” katanya sambil menyerahkan satu carikan kertas. Syukur, walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi misi ini baik orangnya.

Selepas dia menelefon, aku berkejar balik ke rumah semula. Setiba ku di sana, sebuah wagon ambulan telah sedia menanti.

“Boleh saya ikut?” pinta ku seakan-akan merayu kepada pemandu ambulan berbangsa India yang bermisai tebal itu.

“Tak boleh. Lu masih budak-budak lagi. Emak lu kena terus ke hospital!”

Aku sungguh kecewa.

Tak lama kemudian, emak kelihatan turun dari tangga rumah kayu kami terhincut-hincut. Emak sempat merenung ku dan berpesan, ” emak dah masak nasi. Tapi tak ada lauk, tengok-tengokkan makan adik-adik ya?”

Aku mengangguk akur. Dalam keadaan biasa pun itu memang sudah menjadi sebahagian rutin ku. Memasak dan menyediakan makanan memang tugas yang selalu emak amanahkan kepada ku.

Ya, semua itu masih segar dalam ingatan. Bagaimana gementarnya aku menunggu berita daripada emak. Malam, baru bapa pulang memberitahu yang emak telah bersalin. Aku begitu gembira… dapat adik baru!

Ibu kedua

Isteri di dalam bilik rumah mertua ku sedang bertarung dengan kesakitan. Sekali-sekala terdengar suaranya mengeluh lemah Allah, Allah, Allah… Tiba-tiba emak bidan keluar diiringi oleh ibu mertua ku. Mereka berbincang sekejap. Aku memerhatikan sahaja dari jauh. Apa halnya? Hati ku tertanya-tanya.

Sejak subuh tadi isteri ku mengaduh sakit perut. Mula-mula sakitnya datang berselang-seli. Jarang-jarang, kemudian kerap-kerap. Apabila “air ketuban” telah pecah, ibu mertua ku dengan segera menyuruh aku memanggil bidan berhampiran.

“Mak Cik isteri saya nak bersalin,” kata ku sebaik sahaja memberi salam kepada orang tua itu. Dia begitu tua. Agak-agaknya telah berusia lewat 60′an. Tetapi dia sahaja harapan orang kampung itu untuk membidani wanita-wanita yang bersalin.

“Bila sakitnya?” tanya bidan tua itu tenang. Begitu selamba, seakan-akan tidak dapat dijangkaunya gelora rasa dalam hati ku sebagai seorang suami yang menanti kelahiran anak pertama. Perlahan-lahan, dia bergerak. Wajahnya yang cerah berseri, pakaiannya bersih serta mulutnya kumat-kamit berzikir. (Kemudian aku baru tahu rupa-rupanya bidan tua ini sedang berpuasa 6).

Tidak sabar, aku terus mendekati ibu mertua ku.

“Kenapa emak?”

“Isteri kamu ada masalah. Budak tak mahu keluar. Bidan kata dia takut budak kelemasan…”

“Jadi?”

“Kita bawa ke klinik atau hospital dengan cepat.”

Yang terbayang di ruang fikiran ku hanya wajah isteri. Berkali-kali dia telah berpesan hendak “dibidankan” oleh bidan atau doktor wanita. Aku mesti menunaikan permintaannya. Aku mesti bertanggung-jawab.

“Kita cari klinik yang ada bidan wanita saja ya?” rayu ku kepada ibu mertua ku. Begitu ringan mulut ku meminta persetujuannya walaupun dalam tangan ku wang yang begitu sedikit. Aku tekad sahaja, kalau terpaksa berhutang. Aku akan berhutang. Semuanya ku terima seadanya kerana aku masih dalam pengajian. Namun, untuk mempertaruhkan maruah isteri tidak sama sekali.

Dahulu, bukan senang untuk mendapat suasana Islamik di hospital-hospital biasa. Tetapi sekarang, syukurlah suasana sudah berubah. Doktor, jururawat dan bidan perempuan sudah ramai. Hasil kesedaran Islam suasana di hospital pun sudah semakin Islamik.

Bila teksi yang dipanggil datang, isteri, ibu mertua dan bidan tua itu pun segera masuk. Aku duduk di hadapan di sebelah pemandu teksi. Destinasinya? Sebuah klinik bersalin milik seorang perempuan Cina. Semuanya mengikut hasil perbincangan ibu mertua ku dengan bidan tua. Bidan tua itu “berkeras” untuk terus mengikut kerana hendak menjaga “suasana” bersalin secara Islam buat isteri ku. Dalam keadaan tubuh tuanya terketar-ketar aku masih dapat melihat semangatnya begitu kental. Kalau ikutkan lemah, elok dia berehat sahaja di rumah dan minta bidan berbangsa Cina itu sahaja mengambil alih.

Setelah berhempas pulas dengan teriak raung zikir dan keluhan biasa, akhirnya terdengar suara tangisan. Begitu kuat, hingga mengejutkan aku di ruang legar klinik yang begitu sempit. Aku hanya mampu pasrah dan bermunajat di atas kerusi usang klinik yang serba daif itu. Tidak lama bidan tua itu pun melambai-lambai tangannya kepada ku.

“Alhamdulillah, anak kamu perempuan, cepat azankan…” katanya sambil tersenyum. Aku terlampau gembira hingga terasa ingin memeluknya. Tidak lama selepas aku selesai melaungkan azan dan berdoa, aku melihat bidan tua itu menjamah sedikit makanan dan meneguk air sejuk. Dia berbuka dan berjaya menamatkan puasa enamnya dengan begitu tenang sekali. Ku lihat wajah isteri tersenyum puas di sisi anak yang masih merah hasil “perjuangannya” sejak awal pagi itu. Tanpa disedari air mata mengalir. Sedih bercampur gembira, syukur wahai Tuhan, anak ku selamat dilahirkan walaupun dalam keadaan kami yang serba kekurangan. Aku begitu gembira… dapat anak sulung!

Ibu ketiga:

Ingin aku kongsikan, rasa yang ku alami ketika menunggu detik kelahiran itu. Anak perempuan ku mula sakit pada malamnya dan melalui saat-saat cemas mula jam 7 pada paginya. Tuhan memberi mehnah seorang ibu kepadanya. Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan “mengeluarkan” segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu “ijazah” yang melayakkan seorang ibu mendapat ketaatan tiga kali ganda berbanding ayah.

Siapa lagi di sisi? Genggaman tangan seorang suami walau seerat mana tidak akan dapat bersama-sama berkongsi kesakitan. Ibu kepada bakal ibu (isteri ku), mengambil jarak jauh, berdoa, menangis dan merintih di luar kamar. Ketika pertarungan hidup dan mati itu… tidak ada teman, tidak ada sesiapa dapat berkongsi rasa, hanya dia dan Allah.

Rasai, rasailah wahai anak ku, detik melahirkan yang persis detik kematian… rasa harap yang sewajarnya seratus peratus kepada Tuhan. Seharusnya tidak ada lagi rasa bimbang, selamat atau tidak, pengakhiran buruk atau baik… Yakin, sangka baik, insya-Allah selamat, insya-Allah baik!

Ya, aku di mana? Aku pun rupanya tidak tega menunggu begitu. Mendengar seru dan desah resah, Allah, Allah. Jua kata semangat dan lonjak dorongan daripada para jururawat dan doktor. Lalu apa pilihan lagi buat ku selain meminggir sepi di satu sudut yang paling sunyi. Ya, aku masih ingat lagi detik itu. Detik aku terperosok dalam bilik sempit yang dinamakan “surau” itu.

Di situlah tegaknya kamar sufi tempat ego dan takbur tersembam ke bumi. Ketika insan dipagut keresahan, kegelisahan dan ketidaktentuan, barulah semua berpaut kepada Tuhan. Lalu, aku merasakan saat resah ini hakikatnya satu anugerah, untuk aku kembali semula kepada Mu.

Ya, Allah… pengharapan ku pada mu terlalu tinggi. Tetapi aku sedar, aku berdosa. Terlalu banyak kesalahan dan kekhilafan ku kepada Mu. Namun mampukah aku berpaling dari Mu? Tidak, walau dosa ku setinggi gunung, tetapi pengampunan Mu jauh lebih tinggi. Lebih tinggi dari langit yang tujuh. Telah aku ungkapkan kata-kata itu melalui lirik-lirik nasyid yang ku tuliskan, namun seakan-akan baru kini aku merasakan. Aku kembali, aku kembali kepada Mu Tuhan…

Jam 11 pagi, tiba-tiba pintu surau kecil itu terkuak. Anak bongsu lelaki ku memberi salam dan berbisik, “kakak dah selamat bersalin!” Derai air mata ku tidak dapat ditahan lagi. Syukur, syukur, syukur ya Allah, Engkau masih sayang kepada ku, pada kami, pada semua insan yang terlalu banyak berdosa ini. Dalam sujud syukur ku di hujung duha, aku terdengar raungan tangis cucu yang pertama. Alhamdulillah, lahir cucu ku yang pertama!

Aku dan tiga ibu:

Demikian ku kesahkan segalanya. Aku pasti, kamu dan kita semua ada kisah masing-masing. Yang unik dan istimewa tentunya. Ku tulis segala hanya untuk mengingatkan betapa besarnya jasa ibu kita. Ku tulis ‘aku’ hanya untuk mendekatkan rasa. Namun aku percaya ‘aku’mu begitu jua. Kisah, ibu yang melahirkan ibu, melahirkan ibu… dan seterusnya.

Tiga jasa ibu yang tidak mungkin ditandingi oleh seorang bapa – pertama, mengandungkan, kedua melahirkan dan yang ketiga menyusukan. Ketika berat hati kita untuk membalas jasa dan mendoakannya… kenangkanlah, betapa satu ketika kita telah berhutang nyawa kepadanya. Tidak kira betapa besar dan tingginya jasa kita, namun kita adalah insan terhina jika melupakan jasa ibu!

Belajar Ilmu Ikhlas

“Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.

“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.

Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
“Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.

“Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“Dengan memikul batu-batu ini?”
“Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.

Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

Aku Bukan Sumayyah

Dalam diri selembut sutra
Kau memiliki iman yang teguh
Kau nyalakan obor agama diri-mu bak lentra
dibelengu jahiliah kau tempuh dengan berani
Walau pun jasad-mu milik tuan
Tetapi hati-mu milik Tuhan

Padang pasir menjadi saksi ketabahan keluarga itu
Tika suami dan anak dibaring mengadap mentari
Disuruh memilih iman atau kekufuran
Samar jahiliah atau sinaran akidah

Sabarlah keluarga Yasir
Bagi-mu syurga disana
Dan kau pun tega memilih syurga
Walau terpaksa mengorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam
Jasad-mu yang tiada bermaya
Namun iman didada-mu sedikit tidak berubah

Darah-Mu menjadi sumbu pelita iman
Sumaiyah kaulah lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut menghayun buaian
Mengoncang dunia mencipta sejarah

Sumaiyah kau dibunuh didunia sementara
Untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
Kaulah wanita terbaik
Sebaik manusia
Nama-mu tetap menjadi sejarah

AKU BUKAN SUMAYYAHMU!

Suami ku bunga semalam telah layu
Gugur dari jambangannya
Mujur cinta dan perjuangan kita
Bukan itu lambangnya

Mulut ku kaku untuk merayu
Hati ku malu untuk terus cemburu
Tidak seperti dulu
Kerana kini kau mujahid
Yang rindu memburu syahid

Maaf kiranya tutur dan tingkah
Senyum dan seri wajah
Pudar dan hambar di mata mu
Pada ku yang baru belajar
Menjadi seorang mujahidah

Aku kini hanya mendoakan
Agar kau menjadi Yassir
Walau kiranya… bukan aku Sumayyahmu
Dalam tangis ku cuba senyum ketika kau bermusafir
Sepertinya Siti Hajar
Sewaktu ditinggalkan Ibrahim

Biar selalu kita berpisah
Selalu derita kerap susah
Kerana syurga menagih ujian berat
Sedangkan neraka dipagari nikmat!

Tuesday, April 6, 2010

Mufarakah Doa Di Jabal Rahmah

“MUFARAKAH” DOA DI JABAL RAHMAH

Saya tersenyum. Aneh pun ada. Lucu pun ada.
“Ya, ustaz… pada semua tempat kami berdoa bersama. Saya berdoa isteri aminkan dan diikuti oleh semua anak-anak kami tapi…” kata Haji Rahim serius.
“Bila kami berdoa di Jabal Rahmah, isteri saya tidak mengangkat tangan seperti biasa. Anak-anak sahaja yang mengaminkan doa saya,” tambahnya lagi.
“Tuan Haji doa perlahan kot?”
“Semua tempat saya berdoa perlahan. Baik di Multazam, Hijr Ismail, Pancur Emas semua diaminkan bersama. Tapi bila di Jabal Rahmah lain pula ceritanya,” sambil tersenyum Haji Rahim melirik isterinya di sebelah.

Saya turut senyum melihat isteri Hj Rahim senyum. Mereka berdua pasangan serasi. Ke mana pergi bersama. Suhu di Makkah yang membara itu seakan-akan didinginkan oleh kelembutan dan kesyahduan doa para tetamu Allah termasuk sepasang suami isteri ini, yang menemani saya makan, tengah hari itu.
“Kenapa kak?” saya bertanya kepada isteri Hj Rahim.
“Ustaz pun tahu apa yang sering didoakan oleh para jemaah di Jabal Rahmah kan?”
“Doa minta rahmah, maghfirah dan hidayah…” balas saya.

“Bukan itu, tapi doa yang khusus!” balas Kak Raha, isteri Hj. Rahim.
“Doa khusus?” saya bertanya lagi. Sengaja ingin dia meluahkan secara jelas dan tepat rasa hatinya.
“Ahh, doa minta jodoh. Bertemu pasangan…”
“Jadi apa masalah kak?”
“Dia takut saya doa minta jodoh,” tiba-tiba Hj. Rahim menyampuk. Isterinya tersenyum sambil meneguk lassy (susu masam) yang enak rasanya.
Senyum saya akhirnya bertukar jadi ketawa. Nasi Beriani ala Yaman di hadapan kami baru sedikit terusik. Berbanding makan kami lebih rancak berbual.

“Ohh begitu. Kak takut aminkan doa Hj. Rahim, takut-takut dia minta doa nak kahwin lagi?” ujar saya.
Kak Raha menunduk. Masih senyum.
Ah, hati perempuan, getus saya dalam hati. Begitulah hebatnya sensitiviti wanita – tentang cemburu, cinta dan kasih sayangnya, mampu menjangkau doa seorang lelaki.
“Hj. Rahim doa macam tu ke?” Kali ini saya pula “menguji” Hj. Rahim. Mana tahu, hati lelaki, kekadang sukar diteka. Dalam senyap-senyap lelaki juga bijak berstrategi, bukan menipu tetapi tak bagi tahu.

Perancangan dan strategi hendak kahwin lagi ini memang biasa “dilaksanakan” oleh segelintir suami di Makkah atau di Madinah. Sahabat saya Hj. Ramzi menceritakan pengalamannya meredakan “perang saudara” antara suami isteri di Tanah Suci, baik semasa mengerjakan umrah atau mengerjakan haji. Semuanya gara-gara suami hendak berpoligami. Maklumlah, di sana hati manusia lembut, syahdu, hiba. Kesempatan itu kekadang digunakan untuk sisuami mengajukan “proposal” untuk bernikah lagi. Jika isteri menerima, aman. Jika tidak… siap, perang meletus di situ juga!

“Ustaz, tak terlintas pun dalam hati saya nak bernikah lagi. Apa lagi nak berdoa macam tu..,” pintas Hj. Rahim memutuskan lamunan saya.
“Dengar tu kak Raha,” kata saya selaku “mediator”
“Bukan apa ustaz, saya bukan tak terima poligami tetapi…”
“Tak palah kak, saya faham. Kemampuan hati wanita berbeza,” kata saya meredakan.
“Bagaimana kalau macam ni…” tiba-tiba Hj. Rahim membuka semula gelanggang perbincangan semula.
Saya terkejut. Isu ini sangat sensitif, silap-silap “mediator” terjebak sama.
“Macam mana Tuan Haji?”
“Begini. Katalah si suami berdoa kepada Allah minta sangat nak berpoligami. Isteri pula berdoa kepada Allah supaya janganlah Allah takdirkan suaminya berpoligami. Doa siapa yang Allah nak makbulkan?”
Tersentak. Soalan macam ni pun ada. Unik betul pasangan suami isteri ini. Nampak tenang, aman tapi soalannya tajam-tajam. Namun saya masih boleh tersenyum. Santai-santai. Ini bukan forum perdana, hanya perbualan biasa

“Sama-sama ikhlas. Sama-sama ada “reason” yang baik. Bukan kerana suami nak melampiaskan nafsu, bukan kerana isteri hasad dengki atau cemburu buta. Kedua-dua mereka sama-sama tulus dan lurus kerana Allah. Tetapi doa mereka sahaja yang berbeza!” tambah Hj. Rahim menambah kusatnya soalan yang sudah jadi persoalan itu.
“Insya-Allah, Allah akan makbulkan doa yang terbaik,” jawab saya akhirnya. Perlahan. Takut juga saya menjawab soalan itu, seolah-olah didesak menjawab bagi pihak Allah. Padahal saya hanya hamba-Nya.

“Terbaik untuk siapa?” Hj. Rahim dan isterinya bersuara serentak.
“Terbaik untuk kedua-duanya!”
“Bagaimana tu?”
Ya, jika poligami itu baik untuk kedua-duanya… poligami itulah yang Allah akan izinkan berlaku. Jika sebaliknya, poligami itu tidak baik buat kedua-duanya, poligami itu tidak akan berlaku.”
“Tak faham saya ustaz. Kalau poligami itu berlaku, memanglah baik untuk si suami… tetapi tak akan baik juga untuk si isteri?” Kak Raha minta penjelasan.
“Baik juga untuk siisteri, “ tegas saya.
“Bagaimana?”

“Kak, kita perlu kembali kepada Tauhid. Allah itu Al Alim. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Jika poligami itu baik, bukan sahaja suami yang berdoa untuknya dapat kebaikan, malah siisteri yang tidak berdoa untuk itu pun akan dapat kebaikan!”
Keduanya diam.
“Berapa banyak perkara yang kita sangka buruk, akhirnya memberi kebaikan kepada kita. Dan berapa banyak pula perkara yang kita sangka baik pada asalnya memberi keburukan. Kita tidak tahu, Allah Maha Tahu,” kata saya mengulangi apa yang telah Allah tegaskan firman-Nya (surah Al Baqarah ayat 216.)

“Dan kalau poligami itu tidak berlaku… jangan pula suami bersedih. Itu tentu lebih baik bukan sahaja untuk isterinya tetapi untuk dirinya juga. Allah tahu tahap kemampuan lahir dan batin kita. Mungkin fizikal dan material kita ok, tapi bagaimana dengan kemampuan memberi ilmu dan mendidik?”
“Kalau tidak suami akan menanggung beban dunia dan akhirat kan ustaz?” tekan Kak Raha. Saya menjeling Hj. Rahim. Dia senyum.
“Begitu juga isteri kalau dah ditakdirkan dia dimadukan, pasti ada kebaikan yang akan dinikmatinya nanti. Ubat selalunya pahit,” balas saya supaya adil.
“Awak jangan takut… kalau saya doa poligami nanti, saya akan doa kuat-kuat tahu. Awak mesti aminkan,” kata Haji Rahim mengusik.
“Dan kalau nanti saya doa kuat-kuat abang tak berpoligami pun, abang kena aminkan juga,” balas kak Rahah turut mengusik. Saya ketawa – terubat keletihan melihat kemesraan mereka berdua.

Malam itu, saya termenung panjang. Persoalan siang tadi, kembali menerjah ingatan. Walaupun itu hanya satu daripada jutaan persoalan yang bergolak dalam jiwa umat ini tetapi itu menunjukkan betapa jahil dan jahilnya kita sebagai manusia. Betapa kadangkala hati kita sendiri bertanya kenapa jadi begitu dan mengapa ini yang terjadi ? Padahal kita hanyalah hamba-Nya. Mengapa dan kenapa.. apabila ditujukan kepada takdir akan menyebabkan kita hilang ketenangan.

Insiden “mufarakah” doa di Jabal Rahmah, menghadiahkan sebuah hikmah. Ya, akhirnya saya hanya mampu berdoa, “ya Allah, bantulah hati ini memahami, menghayati dan merasai keindahan takdir-MU. Jadikanlah aku hamba yang sebenar-benarnya hamba – yang pasrah dan menyerah, seluruh dan sepenuh.” Bukan menafikan tadbir, bukan tidak boleh berdoa… tetapi bila takdir sudah memutuskan pasrah dan menyerahkan. Ingat, the believer asks no questions, while no answer can satisfy the unbeliever!

Oleh PMJ

Kalau Benar Cintakan Allah

Sebutlah nama Allah banyak-banyak. Maksud ayat al Quran dengan kalimah “berzikirlah pada waktu pagi dan petang” itu ialah kita berzikir dengan kuantiti dan kualiti yang tinggi. Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada membesarkan Allah, dan segala yang lain kecil belaka.

Lidah menyebut kalimah Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagungan-Nya, dan tindakan menyusul apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakam-Nya. Itulah zikir yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.

Namun bila Allah dilupakan, umat akan kurang menyebut nama-Nya lagi. Ketika itu hati-hati pun lalai daripada merasakan kebesaran dan keagungan-Nya. Akibatnya hukum-hakam-Nya diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Bila ini terhadi jangan ditangisi jika Allah “lupakan” kita.

Allah hanya menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang banyak mengingati-Nya – dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang muslim sahaja (bukan muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan daripada-Nya. Siapakah kita, muttaqin atau hanya muslim?

Muslim, lebih-lebih lagi muslim yang fasik, kurang berzikir malah ada yang tidak berzikir langsung. Apakah Allah akan mengingati kita jika kita melupakan-Nya? Lalu terbiarlah kita dihina, dizalimi dan diperkotak-katikkan oleh musuh tanpa mendapat pembelaan.

Sayidina Umar pernah mengingatkan, bahawa dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dosa-dosa akan menghalang daripada datangnya bantuan Allah kepada kita. Kenapa orang melakukan dosa? Jawabnya, kerana lupakan Allah. Lupa zikir kepada-Nya. Justeru, untuk mendapat kekuatan, elakkan dosa. Dan untuk elakkan dosa sentiasalah mengingati Allah.

Ya, masakan orang yang sentiasa ingatkan Allah tergamak bergelumang dengan dosa? Jika terlanjur sedikit pun mereka segera bertaubat. Orang yang beginilah akan mendapat bantuan Allah dalam apa yang mereka usahakan dan perjuangkan. Mereka disokong oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Belum pun bertempik, hanya berbisik, orang akan akur dan tunduk.

When Allah is your “friend”, who is your enemy? Bila Allah akrab dengan kita, siapakah yang berani memusuhi kita? King Richard yang berhati singa itu pun tunduk kepada Sultan Salehuddin Al Ayubi. Mengapa? Apakah hanya kerana kekuatan Salehuddin? Tidak, tetapi kerana akhlak dan keperibadiannya yang ditempa oleh zikirullah. Hasilnya, sifat pemaaf, kasih-sayang dan prihatinya, tidak terbatas. Merentas sepadan bangsa, negara dan agama.

Musuh tidak terlalu laju, tetapi orang Islam yang terlalu perlahan. Kita seharusnya ke depan dengan roh cinta dan kasih-sayang. Dengan cinta kita berdakwah, berhujah dan menjelaskan dengan penuh hemah dan hikmah tanpa dibauri oleh kebencian dan prasangka.

Dengan cinta kita tidak hanya menyebut nama-Nya, mengingati-Nya dan mendaulatkan hukum-hakam-Nya dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat dan negara.

Kalau benar cintakan Allah, cintailah diri dan umat ini dengan banyak mengingati-Nya. Bangun seawal Subuh, bersih dan sucikan diri. Lalu solatlah untuk mengingati-Nya. Kemudian, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan.

Atur keluarga mengikut syariat. Jauhkan pendedahan aurat. Perangi pergaulan bebas, racun hedonisme dan fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan remaja kita. Pacu kemajuan ekonomi, tetapi jangan lupakan hukum Ilahi. Bersiasahlah tetapi jauhi fitnah dan kepentingan diri. Ingat Allah! Jaga halal dan haram dalam setiap perilaku dan perbuatan.

Kalau benar cintakan Allah… ingatlah: Cinta itu bukan kata-kata. Love is a verb – cinta itu tindakan. Bangkitlah dengan kecintaan bukan dengan satu kebencian. Jangan marahkan orang yang tidak cinta… jika kita sendiri tidak cinta.

Marahkan diri kita dahulu, sebelum marahkan mereka. Tidak malukah kita kepada Allah, justeru jika demikian… bererti cinta kita hanya kata-kata? Hanya pura-pura?

Oleh PMJ

Demi Cinta

Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Tirulah sifat Al A’ffu (Maha Pemberi Maaf) Allah SWT… yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu… pengampunan Allah tidak bertepi dan “bertapi” lagi.

Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa… Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.

Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!

Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati… Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.

Bila datang perasaan semacam itu di hati mu… sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA.. Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri… Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar.
Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah.
Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.

Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan. Kemarahan seumpama ‘bom jangka’ yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita. Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah “benci tapi rindu”.

Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup… berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita ‘bebas’ dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu. Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita. Kemarahan itu adalah “api” dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.

Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau “life style” orang-orang yang soleh. Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?

Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun… Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!

Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati. Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang “tidak selesai” antara hati-hati kita berdua?

Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.

Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!

Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil… Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.

Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin… tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.

Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,“kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.

Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca “4 Qul”, doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan “orang lain” yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah… siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.

Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam “fail” di hati sanubari kita. “Delete” segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan “sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini…” Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.

Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.

“Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. “

“Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku.”

Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!

Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah… aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, “tiada maaf bagi mu” selagi ada rasa cinta.

Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit “benci tapi rindu” ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.

Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu. Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?

Kata ahli psikologi, “Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak.” Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!

Saudara/i ku, aku yang menulis ini pun masih bermujahadah untuk memaafkan. Lalu di akhir catatan rasa dan gurisan jiwa ini, ku hadiahkan sebuah puisi seadanya. Tentang gelombang rasa dan gejolak jiwa sendiri dalam sebuah episod dalam hidup ku sendiri. Sudi apalah kiranya kau tatapi bersama…

SUKARNYA MEMAAFKAN

Aku benci rasa ini
Walaupun ia bertandang di laman hati
Kenapa kau menjelma semula
Setelah menghilang sekian lama

Kau kah itu yang pernah menghadiahkan
Satu luka berdarah yang menyakitkan
Kenapa perlu ku temui lagi warna pilu
Ketika kau lalu di tepian kalbu

Ah, terasa segalanya terlalu laju
Bila batas-batas masa dikira
Puluhan tahun tidak lama
termanggu aku seketika…
di pinggiran nostalgia
… sukarnya memaafkan
….sukarnya melupakan

Segalanya kini sudah berubah
Sejak ikatan hati itu terungkai
Episod demi episod telah mendewasakan…
Kita semakin matang mentafsirkan!
Kalau benar cintakan Allah…
Hati kita tak kan terpisah

Dan entah kenapa tiba-tiba kini…
Kita dipertemukan semula
…di persada kemaafan
bila butiran wahyu menyapa
Tuhan semulia itu pun bisa memaafkan
Lalu dendam luruh seluruh…
Walau di awalnya terasa susah sungguh!

Oleh PMJ

Antara Takdir & Tadbir

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Alhamdulillah.

Namun acapkali juga takdir dan tadbir bersalahan, bertentangan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?

Ketika itu hatipun merintih… semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan ketentuan Allah yang maha Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… kita menyalahkan segala – daripada diri sendiri, orang lain sehinggalah kepada Allah.

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.

Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah luput daripada segala takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia.

Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam?

Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka.

Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi mata hati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata:
”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk ku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapangkan dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmu ku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diri ku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah iman ku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

Oleh PMJ