Tuesday, October 26, 2010

Isteri-Isteri Sentiasa Dara

PETUA DARI Dr. Fatimah Az-Zahra

Ustazah menurunkan petua untuk kaum ibu menjaga diri agar sentiasa jadi macam 'abqaro' menurut ayat di dalam Surah al-Waqiah.

('Abqaro' ini bermaksud perawan yang sentiasa menjadi perawan) Ayat ini elok untuk diamalkan setiap hari oleh kaum ibu untuk menjaga kesihatan luar dan dalam.

Caranya: Lepas solat Isya', ambil air segelas, baca Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqiah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Niat dlm hati utk menjaga kecantikan diri & utk kebahagiaan rumahtangga.

Makna surah Al-Waqiah ayat 35-38:

(56.35) Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

56.36) Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),

(56.37) Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya,

(56.38) (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan.

Lanjutkan kepada kaum ibu dan isteri tuan2 semoga ada manafaatnya.

Monday, October 25, 2010

Jangan Bersedih Sayangku

Sumber: Potensi

Bacalah : Doa Ketika Sedih

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْبِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَأَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ،أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ،أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ وَجَلاَءَ حُزْنِيْ وَذَهَابَ هَمِّيْ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu (Hawa). Ubun-ubunku di tanganMu, keputusanMu berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil. Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama (baik) yang telah Engkau gunakan untuk diriMu, yang Engkau turunkan dalam kitabMu, Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang Engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu, hendaknya Engkau jadikan Al-Quran sebagai pententeram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”(HR. Ahmad 1/391. Menurut pendapat Al-Albani, hadits tersebut adalah sahih)

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحُزْنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِوَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”(HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam sentiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173)

DOA UNTUK KESEDIHAN YANG MENDALAM

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْعَظِيْمُ الْحَلِيْمُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمُلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ اْلأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيْمُ

“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Pengampun. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai arasy, yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Tuhan Yang menguasai arasy, lagi Maha Mulia.” (HR. Al-Bukhari 7/154, Muslim 4/2092)

اَللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ،وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah! Aku mengharapkan (mendapat) rahmatMu, oleh kerana itu, jangan Engkau biarkan diriku sekejap mata (tanpa pertolongan atau rahmat dariMu). Perbaikilah seluruh urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.”(HR. Abu Dawud 4/324, Ahmad 5/42. Menurut pendapat Al-Albani, hadis di atas adalah hasan dalam Shahih Abu Dawud 3/959)

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِيْنَ

“Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau.Sesungguhnya aku tergolong orang-orang yang zalim.”(HR. At-Tirmidzi 5/529 dan Al-Hakim. Menurut pendapatnya yang disetujui oleh Adz-Dzahabi: Hadits ini shahih 1/505, lihat Shahih At-Tirmidzi 3/168)

اللهُ اللهُ رَبِّي لاَ أُشْرِكُ بِهِ شَيْئً

“Allah-Allah adalah Tuhanku. Aku tidak menyekutukanNya dengan sesuatu.”(HR. Abu Dawud 2/87 dan lihat Shahih Ibnu Majah 2/335)

Saturday, October 16, 2010

5 Perkara Yang Tak Harus Didedahkan Di Dalam Facebook

Sumber:Anonymous

Assalamualaikum kepada pembaca semua. Hari ni saya ingin berkongsi dengan anda, mengenai 5 Perkara Yang Anda Tidak Harus Dedahkan di Facebook. Saya tahu, ramai dikalangan anda yang mempunyai akaun sosial ini. Antaranya adalah Facebook, Myspace, dan juga Friendster. Mempunyai akaun sosial ini sudah menjadi trend pada ketika ini, jika anda tidak mempunyainya bolehlah dikatakan ketinggalan zaman.Dalam keseronokan kita bersosial dengan laman web sosial ini, kita jangan lupa tentang keselamatan diri, dan keluarga kita. Lebih banyak perkara yang kita dedahkan di laman web sosial ini, bermakna privasi kita semakin terdedah kepada orang ramai. Bagi saya sendiri, saya tak suka jika privasi saya diganggu. Selain tu, banyak juga berita sebelum ni akibat terlalu mendedahkan aktiviti mereka di Facebook ada yang kena bunuh, dan dipecat.
Baiklah, di sini saya kongsikan 5 Perkara Yang anda Tidak Harus Dedahkan di Facebook  :
  • Tarikh lahir dan lokasi.
Tentu, anda boleh mengatakan hari apa anda lahir, tetapi jika anda memberikan tahun dan di mana anda dilahirkan, anda baru saja memberikan pencuri identiti kunci untuk mencuri maklumat kewangan anda, kata Givens. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Universiti Carnegie Mellon .
  • Rancangan Percutian.
Mungkin tanpa disedari ada dikalangan rakan facebook anda adalah seorang pencuri profesional, maka jika anda mendedahkan ke mana anda pergi. Pasti ianya memudahkan bagi mereka melakukan jenayah curi di rumah anda, atau melakukan rompakan di lokasi percutian anda. Lebih baik anda post di wall, “Marilah rompak saya!”. :)
  • Alamat rumah.
Sebuah kajian baru-baru ini dikeluarkan oleh Institut Ponemon mendapati bahawa pengguna laman Social Media berada pada risiko yang lebih besar dalam kes kecurian fizikal dan identiti kerana maklumat yang mereka kongsikan. Sekitar 40% pengguna berkongsi alamat rumah mereka di laman web, 65% pula tidak berusaha untuk menghalang orang yang tak dikenali dengan tetapan privasi.
  • Membuat pengakuan.
Anda mungkin membenci pekerjaan anda, namun ini bukan tempat untuk meluahkan perasaan. Lebih-lebih lagi, jika anda mempunyai teman Facebook dikalangan rakan tempat kerja mahu pun bos sendiri.  Satu kajian dilakukan sejak tahun lalu menganggarkan bahawa 8% dari syarikat di US menjadikan alasan penyalahgunaan Media Sosial sebagai punca untuk memecat pekerja mereka.
  • Memberi Klu katalaluan.
Jika anda mempunyai akaun media sosial, anda mungkin menjawab banyak pertanyaan keselamatan yang berbeza, seperti nama ibu, nama kucing, atau lagu kegemaran anda. Tanpa disedari, anda sebenarnya mendedahkan password kepada penyangak-penyangak ini! Sebaik-baiknya anda menggunakan password yang mempunyai gabungan huruf besar dan kecil, selain mempunyai nombor.
Baiklah, semoga anda mendapat manfaat daripada perkongsian ini.
Salam.

Mendidik Anak Dengan Cinta

“Kenape Abdullah picit dakwat tu? Kan dah tumpah dah.”
“Minta maaf ummi, Abdullah tak sengaja.”
“Ummi nak marah Abdullah boleh? Tadikan ummi dah cakap jangan main dengan dakwat tu.”
“Sekarang ni kemas balik. Abdullah yang tumpahkan, lap balik sampai bersih.”
“Ok, Abdullah lap”
“tak boleh la, ummi, tak boleh la. Abdullah tak pandai, ummi buat lah”
“Kan Abdullah yang tumpah kan tadi?, Abdullah la yang kene lap. Siape yang tumpahkan die kene lap. Mari sini ummi tunjukkan.”
Biasanya ibu bapa lebih mudah memarahi anak dan melarang mereka dari meneroka dunia sekeliling mereka kerana itu lebih mudah buat kedua ibu bapa. Anda bagaimana?
Apakah anda ingin mendidik anak dengan cara yang mudah atau cara yang berkesan?
Orang yang ingin mendidik anak dengan mudah lebih suka anak mereka menjadi anak yang selalu duduk diam sahaja, menurut kata2 kedua ibubapa dengan perasaan takut. Apabila anak melakukan kesilapan, hukum mereka supaya mereka tahu apa yang mereka buat itu akan menyebabkan mereka dihukum, jadi mereka takkan mengulangi perbuatan itu lagi.
Maka lahirlah anak yang tidak melakukan perbuatan yang dilarang kerana takut akan hukuman dan ancaman dari kedua ibubapa. Diluar dari lingkungan ibubapa mereka pun bermaharaja lela berbuat sesuka hati.
Atau kebarangkalian lain, lahirlah anak yang selalu memberontak kerana mereka belajar bahawa cara untuk menyuruh orang lain melakukan apa mereka inginkan adalah dengan cara memarahi mereka, sama seperti yang dilakukan kepada mereka.
Seorang anak belajar bagaimana bertindak dengan orang sekelilingnya adalah daripada bagaimana orang sekelilingnya memperlakukan dirinya. Seorang anak yang selalu dimarahi akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia juga perlu memarahi orang lain. Seorang anak yang selalu dimanjai akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia tidak perlu berusaha apa-apa. Dan begitulah seterusnya.
Bagaimana mendidik anak agar menjadi matang sebelum usia mereka? Layanlah mereka seperti anda melayan seorang dewasa yang belum mengerti apa-apa.
Bagaimana kita menyinggapi seorang kawan yang menumpahkan dakwat di atas meja kita? Terus memarahi dan mencubit mereka? Apakah logik dari perbuatan itu yang ingin kita tanamkan pada seorang anak?
Seorang anak kecil belum lagi mahir mengawal saraf otot mereka dengan baik. Disebabkan itu, pergerakan mereka tak selancar orang dewasa. Air tertumpah, barangan terjatuh, alatan-alatan yang pecah dan sebagainya akan sering menjadi sebahagian dari jadual sehariannya. Kita yang dewasa pun kadang-kala secara tidak sengaja memecahkan barangan rumah, apatahlagi mereka.
Seorang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Disebabkan perasaan inilah mereka dapat berkembang dengan pesat, belajar dengan pantas dan menuasai ilmu kehidupan. Semua yang berada di sekeliling mereka menimbulkan tanda tanya.
“Ummi, tu ape tu yang hitam tu?”
“Ummi kenape ikan tu duduk dalam air?”
“Abi kenape abi solat?”
Menghalang mereka daripada meneroka alam disekitar mereka bererti menghalang suatu kehendak yang membuak-buak dari dalam jiwa mereka. Untuk lebih mudah difahami lagi, ianya bagaikan menghalang seorang yang lapar dari makan dan seorang yang mengantuk dari tidur.
“Tapi kalau tak halang, habislah bersepah rumah. Berteraburlah semua barangan. Tak larat lah asyik nak kene kemas rumah jer.”
Hmm soal ini, kene bijak lah dalam mengaturkannya. Banyak penyelesaian yang ada, antaranya :
1. Mengajarkan mereka agar bertanggung jawab mengemaskan kembali barangan yang telah dia sepahkan. Anda boleh menjadikan mengemas itu satu perbuatan yang seolah-olahnya sangat menyeronokkan. Boleh juga memberikan syarat kepada mereka kalau nak main kene kemas balik selepas habis main. Menyediakan satu ruang khusus untuk mereka bermain juga satu kelebihan.
2. Sediakan barangan permainan yang mencukupi buat mereka. Maka mereka tak perlu bereksperimen dengan barangan kita yang lain yang lebih berharga. Tapi biasanya anak lebih berminat dengan barangan dia selalu lihat kita gunakan. Ingat mereka sebenarnya ingin belajar dan bereksperimen bukan sekadar bermain. Dia ingin merasai pengalaman membuat semuanya. Dia ingin mengetahui cara melakukan semua perkara.
3. Bermain bersama mereka akan mengubah suatu permainan yang membosankan menjadi sangat menarik. Anak sangat suka apa pun jenis permainan yang dimainkan bersama orang yang dia sayangi.
Anak yang dipenuhi kehendak perasaan ingin tahu mereka akan menjadi anak yang cepat matang. Anak yang cepat matang akan mudah menerima pelajaran. Anak yang mudah menerima pelajaran, akan sekaligus kurang merosakkan barangan dan kurang menyepahkan. Malah andai mereka diajar bertanggung jawab, mereka akan menjadi pembantu anda yang sangat baik.
Jadi, biarkan mereka bereksperimen. Biar kita susah sebentar, biar kita susah dalam usaha mereka untuk menjadi matang, biar kita susah sekarang, asalkan anak kita lebih cepat menjadi anak yang bijak dan akhirnya dapat menjadi pembantu, bukan lagi penyusah.
Sebab itu pepatah melayu mengatakan bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Anak yang dididik secara ambil mudah oleh kedua ibubapa, memanglah masa kecil mereka lebih mudah kita jaga (bukan didik), tetapi apabila sampai waktu besar, sangat menyusahkan kedua ibubapa, selalu memberontak, selalu mengamuk, tidak mendengar kata, bertindak kasar, dan sebagainya. Ataupun kita bersusah payah memerhatikan pelajaran-pelajaran mereka dengan perasaan redho dan cinta, membimbing mereka dengan lemah-lembut dan kasih sayang, agar mereka nantinya juga menjadi seorang yang lemah lembut dan penuh cinta juga, hasil dari pelajaran yang mereka dapatkan dari orang disekeliling mereka.

Hikmah Solat Dari Segi Fizikal & Mental

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

"Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh," katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains' terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

"Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran," katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu. 


Kenapa Yahudi Bijak

Ini adalah hasil tulisan seorang Doktor Inggeris.
Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu “Mengapa Yahudi Bijak?”. Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, Engineering, musik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman diHollywood dan sebagainya.
Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebab nya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?
Maka saya pon tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin.
Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, ugama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.
Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, “ia, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga ia menjadi genius apabila dewasa kelak” Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenoh beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau melahirkan anak.
Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu , dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak didalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.
Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yg sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.
Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.
Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak ( bodoh atau lembab). Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironi nya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah …… tekalah sendiri..!)
Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever) Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.
Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.
Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!!!. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak mem fokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.
Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) disini murid murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupon kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di Politeknik dan Universiti.
Satu lagi yg di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Diakhir tahun diuniversiti, para penuntut dibidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktik kanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ½ perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.
Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksijan dikepala, banyak ugama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!
Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yg berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yg bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell comptr, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.
Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa jenerasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah siibu melakukan latihan metamatik yg mudah tetapi konsisten disamping mendengar musik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yg memerlukan konsetrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.
Merokok menjanjikan jenerasi yg moron (goblok) dan sudah tentu genes bodoh akan mengikut ke jenerasi siperokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, disini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 !!! ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menkjubkan sekali!!! dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupon hakikat nya negeri Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!!
Anda mungkin muskil, benarkah merokok dapat melahirkan jenerasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, dimana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga kemusium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyak kah universiti terdapat disana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.
Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal ugama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Paraoh hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yg ingin saya ketengahkan ialah, mampu kah kita dapat melahirkan jenerasi yg bijak seperti Yahudi? Jawabanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 jenerasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esay sepanjang 5 mukasurat penuh. Esay nya hanyalah mengenai Mengapa saya gemarkan tomato!
Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.
Dr. Stephen Carr Leon

Thursday, October 14, 2010

Fadhilat Jadi Isteri

Untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t untuk muslimah adalah terletak pada tanggungjawab/peranan isteri terhadap suami.
Antara tanggungjawab yang wajib untuk isteri mendapat lebih pahala adalah seperti dibawah :-
Memberi/membuat segelas air untuk suami
Fadhilat : mendapat pahala puasa sunat 1 tahun
Menyedia/memasak makanan yang mengenyangkan suami
Fadhilat : mendapat pahala haji dan umrah
Perkhidmatan yang diberi pada suami
Fadhilat : mendapat pahala yang tidak putus-putus
Menghamilkan benih suami
Fadhilat : mendapat pahala syahid
Isteri mandi Junub dengan suami
Fadhilat : pahalanya seperti sedekah 1000 ekor kambing pada fakir miskin
Suami meninggal dunia dahulu dari isteri dan meninggalkan anak
Fadhilat : Isteri mendidik anak itu menjadi seorang ygsoleh/orang yang berguna dengan didikan agama yang sempurna. Maka suami tetap mendapat pahala dan menjadi benteng dari api neraka. dan sekiranya isteri berkahwin lain, suami yangg meninggal itu tetap dapat pahala sekiranya didikan Isteri pada anak-anak berterusan dengan baik.
Isteri yang memandang suami dengan harmoni dan menyukakan
Fadhilat : seolah-olah berzikir kepada Allah
Sekiranya seorang isteri meninggal dunia dengan keredhaan suaminya dia terus masuk syurga!

Monday, October 4, 2010

Surat Cinta Suami Yang Lara

Oleh Pahrol Mohd Juoi

Belasan tahun yang lalu saya diuji. Dan kenangan atas ujian itu mekar kembali semasa saya ditakdirkan hadir sebagai panel forum cinta: Aku, dia dan kita di UTEM, Melaka beberapa malam yang lalu. Bersama saya sebagai ahli panel ialah penasyid Suhaimi (mantan anggota IN-TEAM) dan isterinya Ina Naim (kalau tidak silap saya).

Mereka berdua meluahkan dan mengimbau rasa dan peristiwa cinta mereka berdua yang cukup indah dan berwarna warni. Kerana itu di dalam hati saya, berbunga kembali kenangan lalu… kenangan ketika cinta sendiri diuji. Sangat mahal kenangan itu. Sampai kini ia jadi pengajaran yang sangat mahal harganya buat pedoman diri.

Jarang saya ingin berkongsi soal peribadi. Justeru saya sedar saya adalah suami yang sedang bermujahadah… dulu, kini dan selamanya. Namun secara tiba-tiba saya rasa terpanggil untuk menyampaikan. Manalah tahu ada yang wajar dikongsi sebagai ingatan dan didikan bersama. Lalu saya bongkar kembali surat-surat lama. Lalu saya pilih satu daripadanya. Setelah disunting beberapa hal yang terlalu personal… hasilnya saya kira boleh dimanfaatkan bersama. Kini ia telah jadi milik kita, bukan milik saya.

Sudi apalah kiranya menatap surat itu:

Surat Cinta Suami Yang Lara!

Wahai isteri,
Kumulakan tulisan ini dengan rintihan kepada Allah. Mudah-mudahan rintihan ini menjadi rintihan mu juga.

Ya Allah… aku yakin apa yang Kau takdirkan ini adalah yang terbaik buat dunia dan akhirat kami. Mudah-mudahan keluh-kesah, resah-gelisah kami menerima ketentuan-Mu ini, Kau ampuni dan dikira sebagai bukti lemahnya kami sebagai hamba-Mu yang berdosa. Semoga kesedihan dan kebimbangan kami dalam waktu-waktu tertentu dalam menempuh ujian ini dinilai sebagai langkah menuju-Mu di jalan mujahadah.Kami lemah ya Allah… namun Kami tetap yakin Kau menguji kami ini dengan maksud baik. Kau tidak akan menimpakan kesusahan di luar kemampuan kami menanggungnya. Kami berdoa ya Allah… ujian ini menjadi tebusan pada dosa-dosa kami yang lalu, kini dan akan datang. Sesungguhnya kami ini hamba ya Allah… ujian inilah yang menusuk ke hati lalu mengetuk pintu rasa yang selama ini sudah semakin alpa bahawa kami ini hakikatnya hanyalah seorang hamba yang hina.

Syukur ya Allah … kerana Kau anugerahkan rasa yang termahal ini di celah-celah kepahitan dan penderitaan. Jika tidak kerana ini, kami akan terus lalai, terbuai-buai dan akhirnya mati tanpa merasai hakikat cinta-Mu yang sebenar. Cebisan cinta suci dan sejati ini mudah-mudahan akan hidup subur dan mampu menghidupkan hati kami yang semakin mati.

Isteriku,
Suratmu telah kubaca. Terima kasih sayang. Membacanya seperti membaca hatiku. Aku tidak tahu lagi siapa yang sebenarnya menulis, siapa lagi yang sebenarnya membaca… kerana suratmu adalah suara hatiku… suara hati kita bersama! Aku cuba tenang di sini kerana aku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana.Perpisahan sebenar bukanlah kerana jarak tetapi oleh retaknya hati. Perpisahan ini sesungguhnya mendekatkan hati dan menyuburkan cinta kita. Kita akan semakin rapat oleh perpisahan ini… insya Allah. Yakinlah kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan lebih manis. Perpisahan ini adalah harga kepada saat yang pasti tiba itu, insya Allah.

Aku pergi menuju Allah… memperbaharui langkahku, menguatkan jiwakku untuk memburu kecintaan-Nya… dan dengan itu aku akan mencintaimu dan anak-anak dengan cinta yang lebih suci. Kau ikutlah disisiku sayang… di jalan baru yang belum tentu berapa pula likunya. “Maniskanlah malam-malammu dengan solat dan munajat. Dan sibukkanlah siangmu dengan penuh tanggung jawab dan bersemangat.

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya dengan bersungguh-sungguh. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan berbagai alasan dan kemalasan. Aku gembira dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya sakit dan ubatnya pahit.”Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu:

“Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosa isteriku sepertimana aku telah redha dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin dan berharap terhadap-Mu.“Ya Rahim…
Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anakmu. Agar ditangannyalah nanti zuriat-zuriatku menjadi soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanyadengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.”

“Ya Rahman…
Maniskanlah akhlak isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki padanya dengan direzekikan taqwa yang sejati.”

“Ya Rabbi…
Lembutkan hati isteriku agar mudah dia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu.

Sayang,
Hikmah ujian yang menimpa kita terlalu banyak. Ia ubat dan baja rumah tangga yang telah kita bina sekian lama. Cinta kita sesungguhnya tidak pernah berubah… tetapi ia perlu kemanisan dan hiasan baru supaya serinya bertambah.Cinta kita kuat getarannya, namun kurang matang. Kita terlalu menurutkan perasaan. Baik aku mahupun kau kekadang tersasar kerana “terlalu” cinta. “Terlalu” menjerumuskan kita ke jurang “melulu”. Bila melulu kita akan lepas dari kendali cinta sejati – Allah!

Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun ada juga yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta telah terputus dari cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta dengan cinta-cinta yang lain. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada yang begini… pertemuan pun masih perpisahan. Tapi bila cinta itu diikat oleh cinta Allah, maka perpisahan pun bererti pertemuan.

Allah telah selamatkan kita dari perpisahan kerana terlalu cinta. Dan perpisahan itu tak akan boleh kita cari-cari atau rancang-rancang kecuali dengan satu peristiwa yang kita tidak sangka. Itulah rahmatnya perpisahan yang tidak diminta dan dijangka ini pada cinta dan perkahwinan kita. Ia menguatkan kembali ikatan perkahwinan kita.

Yang lebih penting lagi ujian ini sebagai satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita supaya bergantung dengan Allah semata-mata. Jangan kita bergantung dengan selain Allah. Makhluk yang terikat dengan kita atas nama – suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan musnah jua. Musnah sementara dan akan musnah abadi. Tegasnya, perpisahan ini adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan suami, isteri, ibu, bapa, anak-anak dan sanak-saudara. Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila.

Ketika itu jika hati kita tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat untuk meneruskan hidup dan paling khuatir terhakis atau tercabutnya iman.

Sayang… bergantunglah pada Allah kerana hubungan kita dengan-Nya tidak akan di celah istilah janda, duda dan yatim, sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak pasti akan diputuskan oleh mati. Justeru itu… anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti.

Syukur … kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah? Ketika itu bukan sahaja hati benci merasanya tetapi fikiranpun dikunci daripada memikirkannya…. Ya Allah, benci betul rupanya kita kepada realiti. Angkuh betul kita dengan pinjaman Allah. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita.

Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, alhamdulillah, pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara… aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya. Didikan ini sangat mahal harganya… Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Quran yang sangat pendek:
“Sesungguhnya kita milik Allah, kepada Allah kita akan dikembalikan.”

Terimalah pertemuan yang hakiki itu nanti dengan menempah tiketnya sekarang… tiket itu adalah perpisahan ini. Setiap peristiwa besar mesti ada ‘mukadimah’nya. Tanpa ‘mukadimah’ lintang pukanglah jadinya jiwa kita nanti.

Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini tetapi jangan sekali-kali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik. Berdoalah dengan rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi imbangilah kebimbangan itu dengan rasa yakin akan diperkenankan. Yang penting… Allah tambah kesabaran, keimanan dan rasa tawakal kita kepada Allah.

Di daerah ini kendali diri mesti kuat. Bila lalai sahaja dari mengingati Allah, deraan perasaan akan segera datang. Maka ketika itu terkial-kiallah kembali hati ini mencari kekuatannya… iman. Prasangka, bimbang yang bukan-bukan mesti dilontar jauh-jauh. Tawakal mesti dibina. Berserah dan pasrah sudah wajib, mainan “kalau”, “jika”, “nanti” mesti dihentikan. Alhamdulillah… Allah setakat ini telah mentakdirkan banyak perkara positif sedangkan sebelumnya aku diserang oleh prasangka yang negatif.

Yang dirindu,
Aku berdoa dan berharap kau begitu jua. Jangan dilayan rasa dan sangka yang bukan-bukan. Banyak tugasmu yang sedia ada dan bertambah lagi akibat perpisahan ini. Jaga kesihatan hati dan badanmu. Masa keemasan ini ini gunakanlah untuk memperkemaskan diri. Samada hubungan kita dengan Allah dan dengan manusia.

Orang yang “duji” mudah melakukan perubahan. Tidak boleh sekali-kali digugat kekesalan dan penyesalan masa lampau. Nanti akan timbullah “kalau tak begini dulu… tak lah begini, kalau, kalau, kalau…. Ini akan menyebabkan kita putus asa dan lemah menghadapi hidup. Apa yang penting, katakan, ini realiti, ini takdir, yang sudah ditentukan sejak azali.

Sama seperti pertemuan kita, perkahwinan kita, kelahiran anak-anak kita, percintaan kita, kasih sayang kita… dan lain-lain. Cuma bezanya, yang baik-baik dan manis-manis… mudah kita terima. Yang buruk-buruk dan pahit-pahit… susah kita terima. Sedangkan ilmu di sisi Allah kita tidak tahu, mana hakikatnya yang manis, mana yang pahit, mana yang buruk, mana yang baik? Bukankah di sisi Allah ada yang lebih tersirat?

Bertemu tak jemu. Berpisah tak gelisah. Jangan bersedih… berani dan tabahlah demi cinta Allah!